Posted by : Meooo Comicore Club Feb 20, 2014

Rezeki pelukis kartun







APABILA memperkenalkan diri dengan nama Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar, tidak ramai yang mengenali. Tapi bila sebut sahaja Ubi, semua menganggukkan kepala, dan macam-macam karya beliau berlegar di minda.


Masakan tidak kenal, Ubi adalah kartunis, pelukis komik, dan karikatur terkenal melalui karyanya seperti Budak Hostel (1994-1997), Aku, Dia & Volkswagen (1997-2002), dan IN (1999-2002).

Menurut Ubi, penglibatannya dalam melakar kartun mula tercetus selepas ibunya, yang juga peminat majalah Gila-gila membeli bahan bacaan itu setiap bulan.

"Bermula dengan membaca majalah tersebut, saya mula menaruh minat melukis kartun. Saya berhijrah ke Kuala Lumpur, dan kehidupan jadi berubah apabila saya diterima sebagai kartunis sepenuh masa di majalah Ujang," jelasnya mengenai penglibatan awal kariernya yang kini bergerak secara solo.

Mengimbau penglibatan dalam melukis kartun, Ubi berkata, lukisan pertama yang dihasilkan adalah Ujang siaran Edisi Bumper Merdeka pada 1994.

"Masa tu saya bukan bekerja sepenuh masa tetapi  menghantar karya apabila diminta.  Setiap karya yang dihantar disiarkan, dan karya pertama itu dibayar dengan RM40 sekeping," katanya.

Berbekalkan potensi diri, Ubi ditawarkan sebagai kartunis sepenuh masa sehingga 2002 dia mengambil keputusan berhenti kerja dengan impian menerbitkan majalah sendiri.

Teroka dunia digital

Keputusan untuk bekerja sendiri itu secara langsung memberi dimensi baru pada diri dan penghidupannya apabila industri percetakan mulai jatuh ekoran kuasa internet mula berpengaruh.  

"Pada masa itu sambutan terhadap bahan cetak merudum. Saya cetak dalam 10,000 naskah sahaja. Untung tak seberapa tapi puas hati kerana dapat melahirkan produk sendiri," katanya yang mula meninjau cabang perniagaan lain juga berasaskan kartun.

Tambahnya, pengaruh kartun tidak hanya di majalah semata-mata, tetapi produk lain seperti barangan cenderahati dan baju-T mula mendapat permintaan.

"Selepas sambutan kurang memberangsangkan pada jualan majalah, saya mula fokus pada kartun untuk iklan dan menerima tawaran membuat kartun untuk syarikat korporat," katanya.

Antara syarikat korporat yang menggunakan kepakarannya adalah RHB Bank, Drypers dan Bursa Malaysia.

"Karya untuk syarikat korporat dibayar mahal sehingga ada yang mencecah RM20,000, manakala bayaran untuk siaran televisyen pula RM10,000 dengan durasi 30 saat," katanya.

Ubi berkata, peminat setia pasti boleh mengenal karyanya melalui lukisan itu sendiri dan ciri-ciri paling ketara adalah watak kartun itu kebanyakannya dilukis kemas, cantik, penuh dengan kesempurnaan.

"Watak dalam kartun saya biasanya comel, remaja, dan disertakan dengan romantik dan sedikit komedi," katanya.   

Dalam memberi nafas baru kepada karyanya, beliau dalam perancangan membangunkan aplikasi untuk pengguna muat turun dalam gajet.

"Kita tidak boleh menidakkan fungsi teknologi digital yang semakin hari mengatasi arena percetakan, tetapi dengan kebolehan yang ada, kita memanfaatkan dengan menjana perolehan daripada kecanggihan itu," katanya.

Beliau juga dalam perancangan mempromosikan kad raya digital versi kartun untuk pengguna iPhone. Terdapat juga karyanya dalam bentuk khidmat pesanan multimedia (mms) yang disediakan pengeluar syarikat telekomunikasi terkemuka seperti Maxis dan DiGi.

Kartunis paling popular

Mengimbau kenangan manis, Ubi berkata, antara pencapaian tertinggi pernah diraih adalah diundi peminat sebagai kartunis paling popular ketika bertugas di Majalah Ujang melalui karya Aku, Dia, dan Volkswagen, suatu ketika dulu.

"Sepanjang bergelar kartunis, itulah  pencapaian paling bermakna, kelainan saya berbanding kartunis lain adalah saya melukis berserta mengarang berbanding orang lain yang hanya menumpukan pada lakaran sahaja," katanya.

Dalam menghasilkan karya, kata Ubi, bahagian paling susah adalah mengarang, berbanding melukis. Dalam mengembangkan karya yang kini menjadi sumber pendapatan utamanya, Ubi membuka peluang  kepada individu berminat untuk dilatih sebagai pelapis.

"Saya ingin membuka peluang kepada individu berminat untuk menjadi sebahagian daripada kartunis dengan menghadiri kelas melukis kartun yang dikelolakan saya sendiri. Aktiviti ini secara tidak langsung mengembangkan bakat dan kemahiran saya pada masa hadapan," katanya yang sering dijemput sebagai mentor berkaitan kelas melukis.  

"Jika bukan kartunis menjadi kerjaya pilihan, sudah pasti saya bergelar guru dan mata pelajaran yang diajar adalah lukisan," akhiri Ubi dengan senyuman.



sumber:- http://www.sinarharian.com.my/rencana/rezeki-pelukis-kartun-1.252546 & http://www.kartunisubi.com/images/zurina-ubi.gif

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Kerajaan Komik - Hatsune Miku - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -